Thursday, January 21, 2010

Tahun baru, cerita baru, harapan baru


Alhamdulillah... sudah tiga minggu kita berada di tahun baru 2010 dan baru sekarang saya berpeluang menulis bahan pertama untuk blog ini pada tahun baru ini.
Kesibukan tugas dan urusan keluarga, terutama anak-anak yang meneruskan sesi persekolahan serta institusi pengajian tinggi, menjadikan masa terlalu cepat berlalu dan ruang perjuangan ada kalanya menjadi sempit.
Namun... hakikatnya, perjuangan tetap perlu diteruskan, kebolehan dan keupayaan sebagai seorang penulis bukanlah suatu kebetulan, sebaliknya ia adalah kurniaan Allah SWT dan perlu dimanfaatkan secara bertanggungjawab untuk kebaikan sejagat.
Sejak awal tahun baru ini, belum kedengaran lagi cerita pembalakan haram besar-besaran didedahkan di negara kita. Cuma di tapak kampus Universiti Teknologi Mara (UiTM) Bukit Besi, Terengganu, berlaku penggondolan hingga menyebabkan impian, Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said, mahu melihat suasana kampus dalam hutan, berkecai menjadi debu.
Aalasan yang diberikan kontraktor, tebang dulu, selepas itu tanam semula. Seperti kata Datuk Ahmad, tindakan itu kurang cerdik (atau lebih tepat tindakan bodoh) kerana bukan senang mahu membesarkan pokok hutan kerana ia mengambil masa puluhan hingga ratusan tahun untuk membesar seperti saiz pokok yang ada di tapak itu sebelum ini.
Dalam hal ini, teringat pula kata-kata Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob suatu ketika dulu, “pokok balak bukan macam bulu ketiak, hari ini cukur, esok lusa tumbuh semula dan sebulan kemudian ketiak pun semak semula dengan bulu-bulu”
Namun semuanya sudah terlambat. Apa yang berlaku itu sebenarnya semata-mata kerana sikap tamak dan mahu cepat kaya kontraktor yang hanya memikirkan keuntungan hasil jualan kayu balak berkenaan.
Pada suku terakhir tahun lalu pula, satu kes pembalakan haram yang agak besar, berlaku di Hutan Simpan Pelangai, Bentong, Pahang, iaitu di Kawasan Dewan Undangan Negeri Pelangai yang diwakili Datuk Seri Adnan sendiri. Lokasinya berhampiran tapak Pusat Latihan Kementerian Dalam Negeri. Ketika disedari, lebih 5,000 tan balak bernilai RM3 juta sudah ditebang tanpa lesen atau secara haram dan cuma menunggu masa untuk dijual.
Apabila saya menghantar SMS kepada Datuk Seri Adnan memberi maklumat mengenai kegiatan itu, pada jam 7.24 malam 27 Oktober 2009, beliau membalasnya seperti berikut:
“Kepada CPO (Ketua Polis Pahang) dan SFO (Pengarah Perhutanan Pahang). Forwarded sms yang saya dapat dari TV3. SFO sila ambil tindakan segera. Yang pelik, kenapa dah beribu tan keluar, baru MB diberitahu. Terima kasih TV3 kerana memberitahu. DS Nan.”
Ketika SMS itu dibalas, sekumpulan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan krew TV3 sudah berada di tempat kejadian. Sebelum itu, saya juga memberi maklumat kegiatan itu kepada SFO tetapi ketika itu beliau tidak tahu apa-apa mengenainya.
Memang menyedihkan dan begitulah ceritanya setiap kali kegiatan pembalakan haram dibongkar oleh orang luar Jabatan Hutan Pahang. Memang pelik, bagaimana beribu-ribu tan balak ditebang sesuka hati oleh pembalak haram, tanpa diambil tindakan oleh Pegawai Penguatkuasa Jabatan Hutan Pahang. Kalau hendak dikatakan tidak tahu, agak sukar dipercayai kerana kegiatan itu berlaku di hutan simpan dan sudah mengambil masa yang agak lama, iaitu hampir sebulan. Tambahan pula, lokasinya tidak jauh dari Pejabat Penguatkuasa Jabatan Hutan Pahang Wilayah Pahang Barat di Kemasul, Mentakab, Pahang.
Ketika serbuan dibuat oleh Pegawai SPRM bersama krew TV3, tidak ada seorang pun pembalak haram atau pekerja mereka berada di lokasi. Semuanya sempat melarikan diri. Dengar ceritanya, ada pihak yang memcahkan rahsia ketika pihak SPRM mengatur kerjasama dengan kakitangan Jabatan Perhutanan Pahang bagi membuat serbuan pada petang berkenaan.
Di samping itu, setelah serbuan dibuat, ada pula pihak yang mengaku VIP bergelar “Datuk” cuba menggunakan kuasa di tangan beliau untuk menghalang tindakan menyita kayu balak berkenaan oleh SPRM dan Jabatan Perhutanan. Alasannya, kegiatan itu direstui “orang besar”.
Apapun, tahniah diucapkan kepada SPRM Pahang kerana begitu berani tampil ke hadapan dan sering berjaya melumpuhkan kegiatan pembalakan haram di Pahang sejak kebelakangan ini. Jika tanpa campurtangan SPRM, pihak-pihak berkuasa yang lain seolah-olah memejamkan sebelah mata dengan kegiatan berkenaan. Ia terbukti dalam beberapa kes pembalakan haram yang saya bongkar sejak tahun 2003, memang maklumat sudah disalurkan oleh orang tertentu kepada pihak Jabatan Perhutanan Pahang, tetapi tiada tindakan diambil.
Nampaknya, Tahun Baru Cina pula sudah tidak lama lagi. Kebiasaanya, pada waktu beginilah paling banyak kegiatan pembalakan haram dilakukan. Tauke-tauke pembalakan haram mahu mencari belanja untuk “yamseng” dan “angpau” yang sebahagiannya sudah menjadi lumrah untuk diagihkan kepada pegawai pihak berkuasa tertentu yang melindungi kegiatan mereka selama ini.
Kalau ada masa, saya sendiri mahu meninjau kegiatan itu kerana saya pun sudah lama benar tidak menggunakan kenderaan pacuan empat roda saya untuk menjelajah kawasan-kawasan hutan simpan, terutama di hulu-hulu sungai utama di Pahang, seperti sebelum ini. Saya kira, banyak lokasi terutama di Daerah Jerantut, Rompin, Lipis dan Temerloh yang akan menjadi sasaran kali ini. Sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti.

1 comment:

  1. salam sdr khaidir,

    apa khabar? moga sihat walfiat saja dengan tugas membasmi pernorkaan haram dan pencerobohan serta pencemaran...

    kita pernah bertemu semasa di nst sempena 53 tahun bh baru-baru ini.

    di sini saya sertakan blogger saya: http://sheikhmustafakamal.blogspot.com/
    dan blogger sdr telah diattachkan dalam blogger saya.

    selamat amin...

    ReplyDelete