Wednesday, October 28, 2009

WALAU DI MANA BUMI DIPIJAK, PERJUANGAN TETAP DITERUSKAN


SETELAH lapan tahun berkhidmat sebagai wartawan kanan di bumi tanah tumpah darah saya, ibu bapa dan nenek moyang saya - Pahang Darulmakmur - akhirnya saya berpindah tugas semula ke Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

Sudah lama saya berhasrat menulis bingkisan ini, tetapi tertunda dek kesibukan tugas baru termasuk mengetuai operasi berita pada Pilihanraya Kecil DUN Bagan Pinang dan bersambung pula dengan tugasan membantu rakan-rakan sepasukan mengendalikan operasi berita pada Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra, PWTC, yang berakhir 16 Oktober lalu.

Hakikatnya, bagi diri saya, pertukaran saya dari jawatan Koresponden Wilayah Timur ke jawatan Timbalan Ketua Pengarang Berita di Sri Pentas mulai 10 Ogos lalu, adalah untuk kebaikan masa depan dan pembangunan kerjaya saya sendiri, setelah lapan tahun “dipinggirkan” daripada jawatan sebagai seorang editor sebelum itu.

(Saya tidak perlu mengulas lanjut sebab-sebab peminggiran itu di laman ini kerana ia akan dijadikan sebahagian tulisan buku catatan pengalaman pahit manis saya sebagai seorang wartawan – Politik Media – yang Insyallah akan diterbitkan sedikit masa lagi)

Lapan tahun, lebih-lebih lagi sebagai seorang wartawan kanan penyiaran, pastinya memberi banyak ruang kepada saya untuk mengenali dan bersahabat dengan ramai orang – daripada rakyat akar umbi sehinggalah ke peringkat pemimpin atasan, khususnya di Pahang, walaupun tugas saya dalam tempoh itu turut membabitkan penyelarasan operasi editorial di Terengganu dan Kelantan.

Tambahan pula, pada awal kerjaya saya sebagai wartawan sepenuh masa dengan akhbar Berita Harian pun bermula di Pahang pada 1983 hinggalah 1987, iaitu ketika Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, berkhidmat sebagai Menteri Besar Pahang yang paling muda ketika itu.

Jadi, tidak hairanlah, ada di antara orang kuat Datuk Seri Najib dari Pahang (yang dulu mungkin orang kecil saja, tetapi sekarang dah jadi orang besar) juga adalah di antara kenalan saya.

Walaupun ramai kenalan dan peminat (terutama peminat siri laporan berita kemusanahan alam semulajadi seperti pembalakan haram, lombong haram dan pencemaran sungai yang didedahkan oleh saya) – tidak dapat juga saya nafikan, ramai juga yang bermusuh dengan saya.

Selain tauke-tauke balak haram atau pencuri balak berlesen, mereka juga adalah pengamal rasuah di kalangan sebilangan pegawai serta kakitangan jabatan dan agensi kerajaan yang berkaitan serta orang tertentu, termasuk bergelar VIP, yang selama ini bersenang-lenang dengan hasil kegiatan haram itu.

Jadi, sebaik sahaja berita mengenai pertukaran saya tersebar sejak dua bulan lalu, pelbagai cerita dan desas-desus timbul. Ada yang bercerita di belakang dengan sindiran sinis dan ada juga yang terus berhubung terus dengan saya.

Bagi pencinta alam serta sahabat yang mengenali hati budi dan perjuangan saya untuk menyelamatkan khazanah alam semulajadi bumi tercinta ini, mereka melahirkan kesedihan.

Antara kata mereka yang masih terngiang-ngiang di telinga saya “kalau dah tak ada awak di Pahang nanti, tak ada siapa dah yang nak peduli lagi. Orang lain tak berani macam awak”

Ini pula antara mesej SMS daripada sahabat saya, sebaik mengetahui berita pertukaran saya, yang masih tersimpan dalam telefon bimbit saya.

Daripada dua pegawai Jabatan Hutan Pahang berbunyi :

“Tahniah dan selamat maju jaya. Tuan Haji telah menjalankan amanah dan tanggungjawab yang besar kerana menyelamatkan banyak hutan simpan tadahan air di Pahang. Semoga Allah SWT memberi kejayaan yang lebih besar dalam tugas baru Tuan Haji di Sri Pentas”

“Tuan telah menjalankan tugas dengan cemerlang dan saya pasti kecemerlangan itu akan kekal di mana sahaja Tuan berada”

Daripada seorang Datuk Pahang pula berbunyi :

“Saudara telah menjalankan tugas Saudara dengan baik dan Saudara sepatutnya meneruskan perjuangan ini di Pahang, pasti perompak hasil bumi kita bertepuk tangan setelah Saudara tiada di Pahang nanti”

Daripada beberapa pencinta alam sekitar yang sentiasa mengikuti laporan saya mengenai kemusnahan alam semulajadi pula berbunyi :

“Seronoklah penjenayah alam sekitar merompak hasil hutan kita selepas ini”

“Walau di mana Saudara berada, teruskanlah perjuangan murni saudara. Kami akan terus memberi sokongan”

“Wah.. tahniah, itu berita baik, kalau dulu tugas Saudara terbatas di Wilayah Timur sahaja, selepas ni Saudara boleh meluaskan perjuangan Saudara ke seluruh negara pula walaupun dalam bentuk lain”

Akhir sekali ada juga yang menghantar mesej SMS berikut :

“Awak dah kena niaya... mereka hasut boss awak di Sri Pentas tu supaya tukarkan awak, supaya senang mereka buat kerja haram tu”

“Saya dengar .... (?) tak suka awak pasal awak dedahkan banyak keburukan di Pahang ni, mereka takut BN kalah kat Pahang nanti, sebab tu mereka cari jalan tukarkan awak. Betul ke?”

“Saya dah agak dah... mereka tak suka bro buat pendedahan berterusan macam tu... sekarang BPR pun dah masuk, mereka nak lepas tengkuk mereka, mereka dah kepanasan. Anyway, good luck bro... teruskan perjuangan walau di mana bumi dipijak. Kita anak Pahang, hidup kita untuk berjuang, biar mati dalam perjuangan”

Apabila saya fikir-fikirkan, mungkin ada juga kebenarannya tiga mesej terakhir yang saya paparkan di atas kerana seingat saya sejak tahun 1983 lagi, sudah menjadi tradisi pihak Kerajaan Negeri, khususnya Pejabat Menteri Besar Pahang, meraikan wartawan yang bertukar tempat kerja dari Pahang ke Ibu Pejabat atau ke tempat lain, dengan jamuan perpisahan.

Tetapi agak malang bagi saya, mungkin buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang wartawan kanan anak jati Pahang sendiri yang telah menabur bakti di negerinya sendiri buat sekian lama, tidak diberi penghormatan itu!

Lebih menyedihkan lagi, selain tugas sebagai seorang wartawan, saya juga adalah pengasas utama Kelab Media Pahang (Setiausaha Penaja) yang ditubuhkan pada tahun 2003 bagi mennggantikan Kelab Wartawan Pahang yang berkubur sebelum itu kerana masalah dalaman.

Namun, semua itu tidak penting kerana yang lebih berharga kepada saya ialah penghormatan dan penghargaan yang diberikan oleh rakyat kebanyakan terhadap perjuangan saya. Lebih penting lagi, saya ingin mencari keredhaan Allah SWT.

Jadi, walau apa pun reaksinya – layanan hambar Kerajaan Negeri Pahang, mesej yang dikirim atau persoalan yang diajukan kepada saya berhubung pertukaran saya ke Sri Pentas, saya cuma mahu menjelaskan perkara ini:

Saya gembira dengan pertukaran ini, saya percaya ia akan memberi ruang yang lebih besar kepada perjuangan saya untuk menyelamatkan kemusnahan lebih teruk kepada alam semulajadi yang amat berharga ini daripada kerakusan penjenayah alam sekitar dan orang yang bersubahat dengan mereka. Akhir sekali, saya juga yakin, ada hikmah Allah SWT yang lebih baik dan besar ganjarannya di sebalik pertukaran ini.

Oleh itu, anda semua di luar sana - marilah kita terus bersama-sama menyelamatkan alam semulajadi ciptaan Allah SWT untuk kesejahteraan umat manusia ini, terutama hutan kawasan tadahan air di kawasan tanah tinggi, di hulu sungai yang telah banyak berjasa memberi nadi kehidupan kepada kita semua selama ini. Hakikatnya, jika tanpa air bersih, tiadalah lagi kehidupan kita di dunia ini.

Walaupun mungkin saya tidak lagi akan membuat laporan pendedahan di kaca TV (kerana kesibukan tugas dan tanggungjawab baru yang lebih besar), saya akan meneruskan perjuangan ini dengan cara lain sebagai seorang editor, wartawan, penulis dan blogger.

Banyak lagi lagi pendedahan dan cerita sebenar di sebalik laporan saya selama ini – yang akan saya tulis di ruangan ini dan dalam sebuah buku khas yang sedang saya usahakan mengenai skandal pembalakan dan lombong haram di Pahang. Insyallah.

Jika anda juga menyayangi anugerah alam semulajadi yang tidak ternilai harganya, yang dikurniakan Allah SWT untuk mamastikan kelangsungan kehidupan manusia hingga ke generasi akan datang ini – maka teruskan sokongan anda kepada usaha ini dengan memberi komen yang berguna dan salurkan maklumat ke laman blog saya ini jika anda ada maklumat mengenai pembalakan haram dan kemusnahan alam semulajadi yang lain. Salam perjuangan.

Friday, July 24, 2009

Selamat datang ke blog Khaidir Ahmad


Terima kasih kerana melawati blog saya. Apa yang anda akan baca di ruangan ini adalah catatan pengalaman saya sebagai wartawan sepenuh masa sejak tahun 1983, pandangan dan tulisan saya sebagai seorang pengarang, suara hati saya sebagai seorang pencinta alam semulajadi dan banyak lagi ilmu dan perjalanan hidup saya yang boleh dikongsi bersama sebagai sumber pengetahuan, pengajaran dan teladan.